Monday, January 31, 2011

Misteri Etnik: Belajar bahasa Thai satu kemestian anak masyarakat Siam.

Misteri Etnik: Belajar bahasa Thai satu kemestian anak masyarakat Siam
Oleh Azrul Affandi Sobryazr@bharian.com.my
2011/01/11


PELAJAR etnik Siam tekun mengikuti kelas Bahasa Thai di Wat Boonyaram Padang Sira.

SAWAH padi di Kampung Kubang Chenok yang diusahakan masyarakat Thai.

Masyarakat Thai yang membuka kedai runcit.

MASYARAKAT Thai yang membuka kedai runcit.Kebanyakan wat Siam di Kedah tubuh sekolah bahasa sebagai pendidikan formal bagi mendalami agamaBAHASA jiwa bangsa. Bahasa turut membentuk jati diri sesuatu tamadun masyarakat supaya terus kekal utuh mempertahankan cara hidup dan budaya mereka. Lantaran itu, di mana saja, setiap aktivis masyarakat seboleh-bolehnya akan memastikan bahasa khusus mereka terus digunakan secara meluas.

Begitu juga dengan masyarakat Siam di negara ini yang melihat perkembangan bahasa Thai dalam komuniti mereka lebih penting kerana ia bukan sekadar menjadi bahasa pertuturan tetapi lebih lagi apabila menjadi satu bahasa rasmi dalam urusan keagamaan.

Namun, masalah utama yang dihadapi mereka ialah bahasa Thai sukar dipelajari secara pertuturan harian kerana terlalu banyak pecahannya. Malah, ramai penutur bahasa itu dalam kalangan orang lama tidak mahir menulis bahasa Thai. Lebih menyukarkan keadaan kerana tiada subjek itu di sekolah rasmi.

Justeru, bagi membolehkan bahasa itu tidak tenggelam dan masih dituturkan dengan berkesan oleh semua lapisan usia, setiap wat Siam di kebanyakan kawasan terutama di Kedah menubuhkan sekolah bahasa Thai yang kini menjadi pendidikan formal kedua kepada pelajar Siam.

Pusat Pendidikan Bahasa Thai Wat Boonyaram di Padang Sira, adalah satu contoh terbaik bagaimana perkembangan bahasa itu diperluaskan kepada semua pelajar. Ia diasaskan Ketua Sami Kedah-Perlis, seorang anak tempatan, Phrathep Mongkola Yan pada awal 1960-an.

Penubuhan sekolah bahasa Thai di Wat Boonyaram ketika itu selepas terdorong oleh kesedaran mahu mengembangkan bahasa Thai kepada semua penduduk di sekitar Padang Sira. Paling utama, penubuhan sekolah itu untuk membolehkan semua pelajar mendalami ajaran Buddha kerana kebanyakan buku dan kitab agama ditulis dalam bahasa Thai.

“Ketika itu, tumpuan kelas bahasa Thai terbuka kepada semua peringkat usia. Ia bukan paksaan tetapi disertai ramai orang. Ketika itu, ramai sami tempatan menjadi tenaga pengajar, namun kini kebanyakannya dikendalikan oleh sami dari Thailand kerana sejak 20 tahun dulu, kurang anak tempatan berkeupayaan sebagai pengajar.

“Kelas bahasa Thai di semua Wat Siam kini diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu serta ada dua sesi iaitu pagi dan petang. Selain itu, jika ada cuti persekolahan, sesi pengajarannya akan bertambah. Pendek kata, ia menjadi sekolah kedua kepada pelajar Siam selepas belajar di sekolah kebangsaan.

“Dua sesi setiap hari itu untuk tahap berbeza. Ada beberapa peringkat pengajian di situ iaitu TADIKA tahap satu dan dua, darjah satu hingga empat dan kelas agama tahap satu hingga tiga,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Bahasa Thai Wat Boonyaram, Aieam Khai, 57.

Uniknya sistem pendidikan di situ ialah semua peringkat itu bukan berdasarkan usia tetapi sesiapa yang tidak lulus dalam mana-mana peringkat tidak layak untuk masuk ke peringkat seterusnya. Ia menjadikan ada pelbagai lapisan usia dalam setiap peringkat pembelajaran.

Peperiksaan yang diduduki oleh pelajar di situ menggunakan modul ujian dari Thailand dan selepas melepasi darjah empat di mana pelajar sudah menguasai kemahiran membuat ayat dan mengarang dalam bahasa Thai, barulah dia layak memasuki kelas agama.

Ini kerana, selagi seseorang pelajar tidak menguasai kemahiran mengarang, agak sukar untuknya mendalami agama yang pada peringkat itu menuntut pelajar membuat ayat dan menjawab soalan berbentuk subjektif yang disediakan majlis pendidikan wat Siam di Thailand.

“Enam tahap bukan bermakna enam tahun pengajian. Ada yang memakan masa sampai lapan tahun baru boleh masuk kelas agama.

“Ada pula yang tidak sampai enam tahun kerana lompat kelas. Biasanya semua tahap itu termasuk kelas agama dapat disudahkan sebelum usianya 17 tahun (tingkatan lima).

“Dalam sekolah bahasa Thai, hanya dua perkara menjadi fokus iaitu bahasa dan agama. Tidak ada subjek lain.

“Semua tahap peperiksaan pula ada sijil yang dikeluarkan Jabatan Pelajaran dan Agama dari Thailand. Malah soalannya sama dengan yang digunakan di Thailand.

“Memiliki sijil itu juga sebenarnya memberi satu kelebihan kepada pelajar itu kerana ketika memohon kerja nanti, terutama pekerjaan yang berkaitan dengan sempadan Thailand seperti Kastam dan Imigresen, ia akan dianggap satu bonus untuk dipertimbangkan,” katanya.

“Sebenarnya, penguasaan bahasa Thai ini bukan sekadar menunjukkan mereka boleh bertutur tetapi sebagai petunjuk yang mereka juga menguasai agama.

“Boleh dikatakan, sesiapa yang tidak kuasai bahasa Thai, tidak juga menguasai agama kerana semua kitab dan pengajian agama dalam bahasa Thai.

“Tiada paksaan memasuki kelas ini, tidak wajib tetapi sudah menjadi tanggungjawab setiap keluarga untuk memastikan anak menyertainya. Agak janggal dan dipandang serong nanti oleh masyarakat jika ada keluarga yang tidak menghantar anak ke kelas ini,” tambah Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, Charun Em.

Kelas bahasa Thai di Wat Siam juga menjadi bukti kukuh menunjukkan betapa peranan pusat ibadat masyarakat Siam itu tidak sekadar menjadi lokasi keagamaan tetapi dirangkum bersama peranan memantapkan bahasa dan budaya serta aspek kesenian.

Namun, disebabkan lokasi Wat Boonyaram agak jauh dari beberapa kampung lain, kelas bahasa Thai turut dibuka ke cawangan lain seperti di Pida Lapan, Sanglang, Kodiang, Changlun, Guar Napai dan Guar Nangka. Di Wat Boonyaram sendiri, kini ada 245 pelajar dalam pelbagai tahap.

Yuran pengajian kelas itu pula sangat rendah iaitu hanya RM60 untuk satu keluarga. Kos elaun guru pula selalunya ditanggung oleh tabung Wat Boonyaram yang disumbang oleh masyarakat Siam setempat.

Wat Boonyaram kini mempunyai 13 guru yang didatangkan dari Thailand dengan dua anak tempatan dan setiap sesi pembelajaran diadakan selama tiga jam iaitu antara jam 8 hingga 11 pagi dan jam 2 hingga 5.30 petang.

Dalam konteks ekonomi, masyarakat Siam terutama di Kedah masih menjadikan pertanian sebagai aktiviti utama dengan kebanyakannya mengusahakan sawah padi dan menoreh getah.

Dapat dilihat, sepanjang perjalanan memasuki kampung Kubang Chenok, ia dihiasi pemandangan sawah padi yang terbentang meluas selain kiri kanan jalan yang dilatari deretan pokok getah.

Bekas Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi Kepenggunaan Perlis, San Yap, 61, berkata walaupun masih ramai bertani, perkembangan ekonomi dan cara hidup masyarakat Siam sudah menampakkan perubahan ketara dengan kini semua orang sudah mampu memiliki kereta dan mendirikan rumah selesa.

“Dulu, 99 peratus orang Siam bertani. Di Ayer Hitam dan Sanglang, semua bersawah padi. Pendidikan juga tidak begitu diberi keutamaan. Kini, ia nyata berubah. Ramai sudah jadi kakitangan kerajaan dan berpangkat besar. Ramai juga sudah masuk universiti.

“Mungkin perubahan ini kerana sudah ada sekolah di kampung. Berbeza dengan zaman dulu kerana kami terpaksa menumpang di wat Siam jika mahu mudah ke sekolah. Kerana itulah orang Siam menganggap wat Siam sebagai pusat perkembangan agama, pendidikan dan budaya.
“Meskipun orang Siam sudah menunjukkan peningkatan dalam cara hidup dan ekonomi, persaingan kami dengan bangsa lain sangat ketara kerana masalah kuota.

“Namun, sejak ada kejayaan yang dicapai orang Siam sebelum ini seperti Bekas Pengarah Kastam Kedah, Datuk Charern Intachat yang turut diangkat sebagai Senator Dewan Negara pertama masyarakat Siam sekali gus menjadi pencetus semangat komuniti ini,” katanya.

Perubahan dan kemampuan masyarakat Siam untuk bersaing banyak didorong oleh sikap utama masyarakat ini yang kuat bekerja dan berani meneroka kawasan baru. Malah, hingga kini mereka masih gemar membeli tanah baru untuk memperluaskan aset pertanian.

Namun, menurut San Yap, masyarakat Siam agak ketinggalan dalam aktiviti perniagaan.

Ia mungkin disebabkan kurangnya peluang mereka mendapatkan pinjaman dan tapak perniagaan berbanding masyarakat lain.

Tidak banyak peniaga besar dalam masyarakat mereka. Jika adapun, hanya perniagaan kecil-kecilan.

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MisteriEtnik_BelajarbahasaThaisatukemestiananakmasyarakatSiam/Article/

Wednesday, January 26, 2011

Kerajaan Negeri janji teliti masalah.

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri akan meneliti masalah permohonan tanah untuk tujuan pertanian oleh masyarakat Siam di negeri ini bagi mengetahui punca sebenar kesukaran mereka mendapatkannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, aduan masyarakat Siam mengenai kesukaran memperolahi Sijil Pertanian Siam yang diperlukan bagi membolehkan mereka memohon Tanah Rizab Melayu perlu diberikan perhatian memandangkan perkara itu kebiasaannya diuruskan bahagian Pentadbir Tanah dan Daerah di setiap kawasan.

Menurutnya, kebiasaannya permohonan yang dibuat di bahagian itu tidak dipanjangkan ke pengetahuan Kerajaan negeri setelah dianggap tidak layak.

"Setakat ini, saya masih tidak dapat sebarang aduan berkenaan perkara itu daripada mana-mana individu berketurunan Siam.

"Saya juga meminta mereka datang menemui saya di pejabat bagi memberi penjelasan lanjut berkenaan isu ini," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Phahrolrazi berkata, pihaknya tidak menafikan terdapat ramai individu dari golongan Siam yang memperoleh Tanah Rizab Melayu dengan menggunakan Sijil Pertanian Siam.

"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan untuk menyerahkan tanah kepada masyarakat Siam bukan melalui Rizab Melayu sebagai alternatif untuk mengurangkan bebanan kepada mereka," katanya. (Apakah maksud ayat ini?)

Sebelum ini, Kerajaan Negeri digesa menyelesaikan masalah Sijil Pertanian Siam yang menjadi penghalang kepada masyarakat keturunan itu meneruskan bidang pertanian yang menjadi sumber ekonomi negeri.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Boon Som Inong berkata, masyarakat Siam percaya tempoh menunggu yang lama bagi mendapatkan sijil itu antara satu hingga tiga tahun tidak wajar dan perlu dipercepatkan.

"permintaan masyarakat Siam dianggap wajar kerana mereka mahu diberi peluang sama seperti rakyat lain yang menyahut seruan kerajaan membangunkan ekonomi negara melalui sektor pertanian," katanya yang juga Penasihat Penyelaras Pembangunan Masyarakat Siam Pendang.

Sumber: Sinar harian, 27.1.2011 ms U5..

Prosedur Sijil Pertanian Siam dibentang mac ini.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan membuat keputusan sama ada prosedur permohonan Sijil Pertanian Siam masih relevan digunapakai atau sebaliknya selepas kajian mengenai isu itu dibentangkan pada Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, S. Manikumar berkata, kajian tentang perkara itu sedang disiapkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri setelah masalah tersebut dibangkitkan pada tahun lalu.

"Hasil kajian akan dimasukkan ke dalam kertas kerja yang akan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Masyarakat Siam pada Mac ini.

"Hanya selepas itu, barulah kita putuskan sama ada mahu meneruskankan prosedur sedia ada atau digantikan dengan prosedur lain yang lebih sesuai," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan masyarakat keturunan Siam agar kerajaan Kedah menyelesaikan masalah Sijil Pertanian Siam yang menjadi penghalang kepada mereka untuk menjalankan pertanian di Tanah Rizab Melayu.

Kosmo! semalam melaporkan dakwaan Senator Boon Som Inong berhubung tempoh menunggu permohonan untuk mendapatkan sijil tersebut yang memakan masa di antara setahun hingga tiga tahun.

Boon Som Inong menyifatkan tempoh menunggu itu terlalu lama dan perlu dipendekkan untuk mengelakkan pemohon menghadapi kesulitan.Sijil Pertanian Siam adalah satu dokumen yang diperlukan sebelum mereka boleh memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini untuk diusahakan dengan kegiatan pertanian.

Sumber: Kosmo! 27.1.2011 ms 16

Kerajaan Negeri digesa selesai masalah tanah Siam.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah digesa menyelesaikan masalah Sijil Pertanian Siam yang menjadi penghalang kepada masyarakat keturunan itu meneruskan kesinambungan bidang pertanian yang menjadi sumber ekonomi negara.

Senator Boon Som Inong berkata, masyarakat Siam di negeri ini aktif mengusahakan bidang pertanian seperti tanaman padi dan getah sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Katanya, kedua-dua jenis pertanian itu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan padi menjadi makanan utama rakyat sementara getah adalah komoditi utama negara.

"Masyarakat Siam percaya tempoh menunggu yang lama bagi mendapatkan sijil itu antara satu hingga tiga tahun tidak wajar dan perlu dipendekkan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! kelmarin mengenai Sijil Pertanian Siam yang diperlukan bagi membolehkan individu keturunan Siam memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini yang menjadi satu beban kepada masyarakat berkenaan.

Tempoh menunggu permohonan untuk mendapatkan sijil tersebut di antara setahun hingga tiga tahun disifatkan oleh masyarakat Siam sebagai terlalu lama dan menimbulkan pelbagai masalah.
Boon Som Inong memberitahu permintaan masyarakat Siam itu dianggap wajar kerana mereka mahu diberi peluang sama seperti rakyat lain menyahut seruan kerajaan membangunkan ekonomi negara melalui sektor pertanian.

Sumber: Kosmo, 26.1.2011 ms 18

Monday, January 24, 2011

Selesaikan isu Sijil Pertanian Siam.

ALOR SETAR 24 Jan – Kerajaan PAS Kedah digesa menyelesaikan masalah Sijil Pertanian Siam yang kini menjadi penghalang kepada masyarakat keturunan itu untuk terus terlibat dalam bidang pertanian.

Senator Boon Som Inong berkata, masyarakat Siam di negeri ini sememangnya dikenali suka mengusahakan bidang pertanian seperti tanaman padi dan getah sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Beliau berkata, kedua-dua jenis pertanian itu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan padi menjadi makanan utama rakyat manakala getah adalah komoditi utama negara.

Menurut Boon Som Inong, sekiranya kegiatan ekonomi utama itu terhalang hanya kerana masalah birokrasi, ia adalah sesuatu yang akan merugikan negara.

“Masyarakat Siam percaya tempoh menunggu yang lama bagi mendapatkan sijil tersebut antara satu hingga tiga tahun adalah tidak wajar dan perlu dipendekkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai Sijil Pertanian Siam yang diperlukan bagi membolehkan individu berketurunan Siam memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini kini menjadi satu beban kepada masyarakat berkenaan.

Tempoh menunggu permohonan untuk mendapatkan sijil tersebut antara setahun hingga tiga tahun disifatkan oleh masyarakat Siam sebagai terlalu lama dan menimbulkan pelbagai masalah.

Sijil Pertanian Siam adalah satu dokumen yang diperlukan sebelum mereka boleh memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini untuk diusahakan dengan kegiatan pertanian.


Sumber: Utusan Malaysia, 25 Jan 2011, ms 25.

Kunjungan hormat Timbalan Ketua Sami Kedah Perlis.

Pada 16 Januari 2011, pihak Persatuan Siam Kedah (PSK) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Than Chau Khun Phra Visutthasillakhun (Than Choi) di Wat Titi Akar, Pendang, Kedah.

Dalam sesi dialog, Than Chau Khun meminta agar pihak PSK dapat bersama-sama khanaksong kedah/Perlis untuk membangunkan pendidikan bahasa Siam yang diadakan di setiap wat. Untuk mengekalkan bahasa ibunda kita disamping menyebarkan agama Buddha di kalangan generasi baru.

Dalam perjumpaan tersebut, pihak PSK juga mengadakan Majlis Sangghadana dan menyediakan makanan tengahari kepada para sami. Turut hadir ialah Phrakhru Dhammabal Phem, Ketua Sami Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah.







Sunday, January 23, 2011

Petani Siam hadapi masalah mohon Tanah Rizab Melayu

Masyarakat Siam menunjukkan dokumen Sijil Pertanian Siam yang perlu diperoleh sebelum memohon Rizab Tanah Melayu di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 23 Jan. – Sijil Pertanian Siam yang diperlukan bagi membolehkan individu berketurunan Siam memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini kini menjadi satu beban kepada masyarakat berkenaan yang terkenal dengan kegemaran mengusahakan bidang pertanian.

Tempoh menunggu permohonan untuk mendapatkan sijil tersebut antara setahun hingga tiga tahun disifatkan oleh masyarakat Siam sebagai terlalu lama dan menimbulkan pelbagai masalah.
Kakitangan kerajaan, Chaliau Aisin, 39, yang berasal dari Pendang berkata, Sijil Pertanian Siam adalah satu dokumen yang diperlukan sebelum mereka boleh memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini untuk diusahakan dengan kegiatan pertanian.

Bagaimanapun, katanya, kerenah birokrasi telah menyebabkan permohonan untuk mendapatkan sijil tersebut menjadi satu beban kepada masyarakat Siam di negeri ini yang rata-ratanya menjadikan bidang pertanian sebagai sumber pendapatan utama.

“Selain proses permohonan yang terpaksa melalui pelbagai peringkat, masyarakat Siam juga perlu menunggu antara satu hingga tiga tahun sebelum sijil itu dikeluarkan.

“Selepas sijil dikeluarkan barulah mereka boleh memohon untuk mengukur tanah bagi proses mendapatkan hak milik,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Kakitangan kerajaan, Ah Khoon Endin Yat, 40, yang berasal dari Padang Terap berkata, proses mendapatkan sijil itu bermula dengan mendapatkan borang dari pejabat tanah daerah dan selepas itu perlu berjumpa dengan penghulu untuk pengesahan.

Menurutnya, selepas itu, mereka perlu berjumpa dengan pesuruhjaya sumpah sebelum menghantar borang ke pejabat tanah untuk proses siasatan dan dikenakan bayaran sebanyak RM30.

“Ia kemudian diserahkan semula kepada pejabat tanah dan galian (PTG) dan pemohon perlu menunggu sehingga tiga tahun sebelum diluluskan dengan bayaran sebanyak RM50.

“Jika pemohon mempunyai lebih daripada satu lokasi, mereka perlu membuat permohonan yang berasingan,” katanya.

Seorang lagi kakitangan kerajaan, Igian Endin Hean, 56, dari Pendang berkata, masyarakat Siam di negeri ini berharap masalah birokrasi itu dapat diatasi segera kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama.

Katanya, masalah juga timbul apabila generasi kedua mahu meneruskan kegiatan pertanian yang diusahakan oleh ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm