Saturday, October 6, 2012

Isi kandungan surat berkenaan isu Charok Nau.



Kepada,
Tuan Pentadbir Tanah Baling,
Pejabat Tanah Baling,
09100 Baling,
Kedah Darul Aman.

Tuan/puan,

Pohon Penyelesaian Atas Persetujuan Pejabat Tanah Baling
Kepada Pengusaha Tanah TOL Charok Nau, Baling, Kedah

Kami dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas. Untuk makluman pihak tuan, pihak kami telah dilantik oleh peneroka/pengusaha asal tanah di kawasan kampung Charok Nau, Mukim Baling, Kedah Darul Aman untuk mewakili mereka berhubung dengan perkara di atas untuk menguruskan tuntutan tanah lot kediaman yang telah diluluskan di Charok Nau sebagai ganti pengambilan tanah TOL mereka untuk Projek Penyusunan Semula Pekan Baling. Mereka ini telah diberi milik berstatus Pemegang Lesen Menumpang Sementara (TOL) oleh pihak Kerajaan. Senarai nama pengusaha yang terlibat disertakan (Lampiran A).

2. Untuk makluman tuan, tanah ini telah diusaha/diteroka oleh penama-penama ini sejak lebih 50 tahun yang lalu dan penama-penama tersebut telah diberi Lesen Menumpang Sementara (TOL) dan mereka sudah mendapat nombor plot yang diberi oleh pihak Pejabat Tanah Daerah Baling. Walau bagaimana pun tanah-tanah mereka ini telah terlibat dengan pengambilan alih tanah untuk Projek Penyusunan Semula Pekan Baling. Bersama-sama ini kami kelatkan salinan resit-resit pembayaran yang telah dibayar. (Lampiran B)

3. Menurut fail Pejabat Tanah Baling BIL. (36) dlm PTB (T)301-64 bertarikh 2 Disember 1985, pihak Pejabat Tanah Baling telah menjemput peneroka/pengusaha untuk berbincang menyelesaikan masalah di Dewan Orang Ramai Kg. Simpang Empat pada 11 Disember 1985 (Rabu) jam 3.00 petang (Lampiran C1) dan surat BIL. (3) dlm. PTB(K.4)30/1986, pihak Pejabat Tanah Baling telah bersetuju untuk meluluskan satu lot tapak kediaman kepada pengusaha terlibat dengan syarat-syarat yang dinyatakan itu. (Lampiran C2).

4. Pihak kami juga telah berbincang dengan semua penama-penama ini dan mereka bersetuju supaya pihak persatuan dapat membantu menyelesaikan masalah mereka memandangkan tanah-tanah usaha mereka telah diambil oleh pihak Kerajaan untuk tujuan projek Pembangunan Pekan Baling dan di samping itu pihak Pejabat Tanah Baling telah pun memberi nombor lot kepada mereka. Bersama-sama ini, surat kedatangan perbincangan perkara yang sama (Lampiran D1) berserta dengan gambar peneroka/pengusaha yang hadir perbincangan (Lampiran D2).

5. Sehubungan dengan perkara di atas, pihak kami juga mendapat sokongan daripada Pengerusi JKKKP Kg. Simpang Empat, Baling, Kedah dan beliau bersetuju membenarkan pihak kami menguruskan hal ini. Bersama-sama ini kami kelatkan surat persetujuan daripada JKKKP Kg. Simpang Empat, Baling, Kedah. (Lampiran E).

6. Oleh yang demikian, pihak kami memohon jasa baik tuan agar pihak tuan memberi perhatian yang saksama ke atas pihak yang terlibat ini dapat diberi tanah lot kediaman yang telah dijanjikan untuk kepentingan mereka sekeluarga.

7. Kerjasama dan tindakan kadar segera tuan/puan di dalam perkara ini amat diharapkan memandangkan isu ini telah begitu lama diketepikan oleh pihak berkenaan.

Sekian, terima kasih.

“55 TAHUN MERDEKA JANJI DITEPATI“.

Saya yang benar,



(NOP A/L NAI SAMRONG)
Pengerusi Persatuan Siam Kedah
Hp: 012-6989509

s.k.

1.      YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia,
Pejabat Perdana Menteri Malaysia,
Bangunan Perdana Putera,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA.

2.      YAB Dato’ Seri Haji Azizan Bin Abdul Razak,
Menteri Besar Kedah,
Pejabat Menteri Besar Kedah,
Aras 3, Blok A, Wisma Darul Aman,
05503 Alor Setar, Kedah Darul Aman.

3.      YB Dato’ Seri Hj Mohd Shafie Bin Hj Apdal,
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,
Aras 9, Blok D9, Parcel D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62606 PUTRAJAYA.
 
4.      YB Dato’ Wira Mohd. Johari Bin Baharom,
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia,
Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani Malaysia,
Wisma Tani, No. 28, Persiaran Perdana, Persint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62624 PUTRAJAYA.

5.      Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan),
Seksyen Pentadbiran dan Kewangan,
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE),
Aras 4, Podium 1, Wisma Sumber Asli,
No. 25, Persiaran Perdana, Persint 4,
62574 PUTRAJAYA.

6.      YBhg. Dato’ Pengarah Tanah dan Galian
Negeri Kedah Darul Aman,
Wisma Negeri,
05576 Alor Setar,
Kedah Darul Aman.

7.      YB Senator Dato’ Boon Som Inong,
Ahli Dewan Negara.

8.      YB Dato’ Che Azmi Hussin,
ADUN Bayu,

9.      Tuan Pegawai Daerah Baling,
Pejabat Daerah Baling,
09100 Baling,
Kedah Darul Aman.


Isu Charok Nau, Baling.

Lebih kurang 50 orang pengusaha-pengusaha dan waris tanah TOL di Charok Nau, Baling, Kedah telah melantik Persatuan Siam Kedah (PSK) bagi mewakili mereka menguruskan tuntutan janji pemberian satu lot lepada semua pengusaha atau waris di atas pengambilan tanah TOL mereka oleh kerajaan untuk Projek Penyusunan Semula Pekan Baling pada tahun 1986. Keputusan ini dicapai dalam satu mesyuarat yang diadakan di Wat Phrasrimahapho, Kg. Simpang Empat, Baling, Kedah pada 5 Oktober 2012 jam 8.30 malam.

Pada 6 Oktober 2012 jam 3.00 petang, PSK telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Khas dan satu mandat telah diperolehi untuk menjadi wakil bagi menguruskan tuntutan kaum Siam Baling bagi menuntut agar kerajaan dapat menunaikan janji sejak 1986 kepada pengusaha-pengusaha dengan memberi satu lot kediaman setiap orang. PSK akan mengadakan Perhimpunan Aman di perkarangan Pejabat Tanah dan Daerah Baling untuk menyerahkan surat permohonan kepada Pegawai Tanah Daerah Baling pada hari Isnin 8 Oktober 2012 jam 10.00 pagi.

Harap masalah ini dapat diselesaikan dengan baik.

Monday, July 2, 2012

PSK prihatin dengan penderitaan Pa Chiam.

Pada 28 Jun 2012, Persatuan Siam Kedah (PSK) diketuai En. Nop A/l Nai Samrong selaku Pengerusi PSK telah mengetuai rombongan PSK ke rumah Pn. Thong Kiam a/p Din Tong (Pa Chiam), 62 tahun di Kg. Tas, Mk. Pulai, Baling, Kedah.

Rombongan PSK seramai 8 orang telah ditemani En. Worn, Pengerusi JKKKP Kg. Tas telah mengunjungi rumah Pa Chiam untuk menyerahkan bantuan dalam bentuk barangan dan kewangan bagi meringankan bebanan penderitaan Pa Chiam.

Kisah hidup Pa Chiam telah didedahkan secara meluas dalam Media Sosial sehingga mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Marilah kita bersatu dan cuba membantu saudara kita jika masih ada lagi yang masih hidup menderita.

Saturday, June 23, 2012

Mesy. Jawatankuasa PSK 2/2012

Pada 23 Jun 2012 jam 3.00 ptg, PSK telah berjaya mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa PSK Bil 2/2012 di Bilik Mesyuarat, Pejabat UMNO Bahagian Padang Terap, Kuala Nerang.

Semua AJK hadir kecuali En. Po Chew, En. Ia Lun, En. Bunyin, En. Ie Reang dan En. Pai Trang.

Topik perbincangan ialah:-
1. Usaha-usaha mendapat dana untuk tabung PSK termasuk aktiviti Koperasi Kaum Siam Berhad.
2. Mengatasi masalah kaum Siam Kedah spt kes pengambilan tanah org Siam Baling oleh kerajaan.
3. Membantu urusan status tanah wat Siam dan perkuburan Siam seluruh Kedah.
4. Mendapatkan dana kerajaan utk pembinaan bangunan pembakaran mayat utk setiap perkampungan Siam di Kedah.
5. Menjalinkan kerjasama dengan pihak Thailand dalam bidang kebudayaan.
6.  Bersuara bagi kaum Siam Kedah tanpa mengambil kira fahaman politik masing-masing.
7. Berusaha menganjurkan program motivasi kepada pelajar Siam.

KAUM SIAM KEDAH HARUSLAH BERSATU 
DI BAWAH PSK DEMI MASA DEPAN KAUM KITA.

Wednesday, April 18, 2012

PSK masih relevan tapi dipinggirkan.


Persatuan Siam Kedah (PSK) masih relevan untuk mewakili masyarakat Siam di negeri Kedah. PSK telah ditubuhkan pada tahun 2008 bagi menggantikan Persatuan Masyarakat Siam Kedah/Perlis yang telah dibatalkan pendaftaran pada tahun 1997.

Ini adalah ekoran perasaan kecewa sesetengah pemimpin Siam Kedah di atas perlantikan Senator pada tahun 1996. Sementara Senator ketika itu pula mengutarakan pandangan agar semua masyarakat Siam harus bernaung di bawah payung Persatuan Siam Malaysia (PSM) sahaja. Persatuan-persatuan lain dinasihatkan untuk dibubarkan bagi memperlihatkan masyarakat Siam Malaysia telah bersatu-padu.

Tujuan penubuhan PSK bukannya untuk merebut apa-apa jawatan di peringkat kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri. Pihak kami hanya bertindak untuk memperjuangkan hak kaum Siam Kedah dari pelbagai aspek pembangunan.

Tapi malangnya, kelahiran PSK tidak dihargai oleh kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Mereka menganggap seolah-olah PSK ini tidak wujud. Program kerajaan Pusat seperti lawatan PM berjumpa dengan masyarakat Siam di Wat Titi Akar dan Wat Nanai, Pendang, Kedah pada 25 Februari 2012,, PSK tidak diajak untuk turut serta bagi menggarapkan tenaga membantu menjayakannya.

PSK cuba melaksanakan beberapa program di peringkat negeri dengan kemampuan sendiri tapi cuba dihalang oleh pihak tertentu yang takut bayang-bayang sendiri sekiranya PSK berpengaruh di kalangan kaum Siam Kedah. Keadaan beginilah jadinya, sekiranya pemimpin Siam dilantik melalui pintu belakang.

Malangnya PSK kekurangan dari segi sumber kewangan. Sekiranya PSK mempunyai sumber kewangan yang kukuh, maka sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan menyatupadukan kaum Siam dan mengatasi masalah kaum Siam menjelang PRU13. Kami percaya parti-parti lain tidak akan berjaya mempengaruhi kaum Siam dengan agenda tersembunyi mereka bagi memecah kubu kuat BN.

PSK amat berterima kasih kepada PM kerana memberi peruntukan RM500,000 kepada Wat Titi Akar, RM400,000 kepada Wat Nanai, RM300,000 untuk tempat pembakaran mayat Siam di Jitra dan RM9,000 kepada semua ketua-ketua Sami seluruh Kedah. Sekiranya PM juga dapat meluluskan sejumlah peruntukan untuk NGO-NGO Siam maka para pemimpin Siam juga akan mempunyai kekuatan untuk menggerakkan jentera membantu kerajaan bagi menghadapi PRU13 yang menjelang tiba.

Walaupun PSK masih aktif tapi dalam keadaan merangkak maka agak sukar untuk mengambil sebarang tindakan bagi membantu kerajaan bagi menghadapi PRU13. Harapan saya agar YAB Perdana Menteri akan terus memimpin negara selepas PRU13.

Monday, March 19, 2012

Mesy AJK PSK Bil 1/2012.

PSK akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bil 1/2012 di Pejabat Pekemas, Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 24 Mac 2012 jam. 3.00 petang.

Saturday, April 16, 2011

Jemputan Khas dari Timbalan Menteri di JPM

Pada 16 April 2011, YB Senator Dato' Dr Mashitah Binti Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan Jamuan Makan Malam bersama masyarakat Siam daerah Baling sempena Sambutan Pesta Songkran 2011.

Seramai lebih 1,000 orang masyarakat Siam daerah Baling hadir daripada Kg. Simpang Empat, Pekan Baling, Kg. Sirako, Kg. Tas, Kg. Thai Pegang, Kg. Lengkuas dan Kg. Tanah Lincin. Pihak PSK telah mendapat jemputan khas daripada YB. Senator Dato' Dr. Mashitah Binti Ibrahim sebagai tetamu khas pada malam tersebut.

Pihak PSK hadir bukannya mewakili mana-mana pihak seperti yang disebutkan dalam senarai protokol yang disediakan. Pihak kami telah merujuk perkara ini kepada Setiausaha Sulit YB Senator Dato' Mashitah. Mereka mohon maaf di atas kesilapan tersebut. Dalam majlis tersebut beliau telah menyampaikan sumbangan kepada wat-wat Siam di daerah baling dan juga sumbangan kepada PSM Caw Baling dan cawangan Kg. Lengkuas.

Terima kasih Dato' kerana mengambil berat tentang kebajikan masyarakat Siam daerah Baling.