Persatuan Siam Kedah (PSK) masih relevan untuk mewakili
masyarakat Siam di negeri Kedah. PSK telah ditubuhkan pada tahun 2008 bagi
menggantikan Persatuan Masyarakat Siam Kedah/Perlis yang telah dibatalkan
pendaftaran pada tahun 1997.
Ini adalah ekoran perasaan kecewa sesetengah
pemimpin Siam Kedah di atas perlantikan Senator pada tahun 1996. Sementara
Senator ketika itu pula mengutarakan pandangan agar semua masyarakat Siam
harus bernaung di bawah payung Persatuan Siam Malaysia (PSM) sahaja. Persatuan-persatuan
lain dinasihatkan untuk dibubarkan bagi memperlihatkan masyarakat Siam Malaysia
telah bersatu-padu.
Tujuan penubuhan PSK bukannya untuk merebut apa-apa jawatan
di peringkat kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri. Pihak kami hanya
bertindak untuk memperjuangkan hak kaum Siam Kedah dari pelbagai aspek
pembangunan.
Tapi malangnya, kelahiran PSK tidak dihargai oleh kerajaan
Pusat dan kerajaan negeri. Mereka menganggap seolah-olah PSK ini tidak wujud. Program kerajaan Pusat seperti lawatan PM berjumpa dengan
masyarakat Siam di Wat Titi Akar dan Wat Nanai, Pendang, Kedah pada 25 Februari 2012,, PSK tidak
diajak untuk turut serta bagi menggarapkan tenaga membantu menjayakannya.
PSK cuba melaksanakan beberapa program di peringkat negeri
dengan kemampuan sendiri tapi cuba dihalang oleh pihak tertentu yang takut
bayang-bayang sendiri sekiranya PSK berpengaruh di kalangan kaum Siam Kedah.
Keadaan beginilah jadinya, sekiranya pemimpin Siam dilantik melalui pintu
belakang.
Malangnya PSK kekurangan dari segi sumber kewangan.
Sekiranya PSK mempunyai sumber kewangan yang kukuh, maka sedikit sebanyak dapat
membantu kerajaan menyatupadukan kaum Siam dan mengatasi masalah kaum Siam
menjelang PRU13. Kami percaya parti-parti lain tidak akan berjaya mempengaruhi
kaum Siam dengan agenda tersembunyi mereka bagi memecah kubu kuat BN.
PSK amat berterima kasih kepada PM kerana memberi peruntukan
RM500,000 kepada Wat Titi Akar, RM400,000 kepada Wat Nanai, RM300,000 untuk
tempat pembakaran mayat Siam di Jitra dan RM9,000 kepada semua ketua-ketua Sami
seluruh Kedah. Sekiranya PM juga dapat meluluskan sejumlah peruntukan untuk
NGO-NGO Siam maka para pemimpin Siam juga akan mempunyai kekuatan untuk
menggerakkan jentera membantu kerajaan bagi menghadapi PRU13 yang menjelang
tiba.
Walaupun PSK masih aktif tapi dalam keadaan merangkak maka
agak sukar untuk mengambil sebarang tindakan bagi membantu kerajaan bagi
menghadapi PRU13. Harapan saya agar YAB Perdana Menteri akan terus memimpin
negara selepas PRU13.
No comments:
Post a Comment