Monday, September 27, 2010

Kunjungan hormat Ketua Sami Kedah/Perlis.


Pada 11 September 2010, Jawatankuasa PSK telah mengunjungi Than Chau Khun Phraraj Thammathada, Ketua Sami Kedah/Perlis merangkap Pengerusi Persatuan Sami Siam Malaysia di Wat Thepbandit, Kg. Paya Mak Inson, Pendang, Kedah.

Barisan Jawatankuasa PSK diketuai oleh En. Nop Nai Samrong, Timbalan Pengerusi PSK mengadakan kunjungan hormat sambil mengadakan Majlis Sanggadana bertujuan mengeratkan perhubungan antara PSK dan Khanaksong Kedah/Perlis (Institusi Agama Buddha).

Dalam perjumpaan tersebut, satu sesi dialog diadakan di antara Ketua Sami Kedah/Perlis dengan barisan Jawatankuasa PSK. Than Chau Khun (Ketua Sami Kedah/Perlis) melahirkan perasaan bimbang terhadap apa yang berlaku terhadap beberapa wat Siam di Malaysia. Beliau amat mengharapkan kerjasama semua NGO yang diwujudkan dalam masyarakat untuk tampil membantu.

En. Nop Nai Samrong menjelaskan tentang penubuhan PSK bukannya ingin bersaing dengan sesiapa. PSK adalah NGO peringkat negeri yang akan mewakili masyarakat Siam di negeri Kedah sahaja. Sementara isu masyarakat Siam di peringkat yang lebih besar haruslah diberi tanggungjawab kepada NGO yang lebih besar.

En. Phiang menjelaskan bahawa beliau selaku Ketua Biro Agama PSK akan sentiasa menyanjungi khanaksong. PSK tanpa kerjasama dengan khanaksong, ia tak bermakna sebab masyarakat Siam sudah sebati dan menyanjung tinggi khanaksong tanpa boleh dipertikaikan lagi.

Saya selaku Setiausaha PSK menerangkan aktiviti2 yang telah dilaksanakan oleh PSK yang tidak langsung menunjukkan bahawa kita bermasalah dengan mana2 NGO lain. Tujuan utama ialah berkhidmat dan mewakili masyarakat Siam Kedah dalam arus pembangunan yang diabaikan selama ini.

En. Edin Chok pula menerangkan bahawa penubuhan PSK adalah lanjutan daripada Persatuan Siam Kedah/Perlis yang dibubarkan setelah masyarakat Siam diberi jawatan Senator pada 1997 atas kehendak pemimpin NGO peringkat kebangsaan. Seterusnya beliau mewujudkan Jawatankuasa Penyelaras Masyarakat Siam Pendang dan akhirnya PSK dihidupkan semula oleh generasi baru. Beliau selaku bekas pengerusi akan sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada generasi muda.

Than Chau Khun memaklumkan bahawa beliau tiada masalah dengan penubuhan PSK. Katanya lagi, kebanyakkan ketua2 sami tidak pandai dalam bidang politik. Beliau berharap agar PSK dapat memainkan peranan mewakili masyarakat Siam dalam bidang politik agar masyarakat kita terbela. Khanaksong dan PSK haruslah bersatu dan berganding bahu membangunkan masyarakat Siam Kedah.

PSK telah melantik En. Phiang selaku Ketua Biro Agama sebagai wakil PSK utk berbincang dengan Than Chau Khun dalam hal ini. Semoga masyarakat Siam Kedah akan bersatu kembali untuk menunjukkan kekuatan sebelum PRU13.