Saturday, October 30, 2010

Batu Sempadan Negara antara kerajaan British dengan kerajaan Siam dahulu.

Batu sempadan adalah artifak yang amat penting berkaitan sejarah negara kita. Kerajaan Malaysia haruslah memelihara artifak ini supaya generasi akan datang dapat mempelajari subjek sejarah dengan lebih yakin bahawa wujudnya kerajaan Siam di negeri Kedah sebelum penjajahan British. Gambar di atas adalah Batu Sempadan antara Kerajaan British dengan Kerajaan Siam dahulu yang terletak di sempadan negeri Pulau Pinang dengan Kedah berhampiran dengan tebing Sungai Muda dekat dengan Kg. Terat Batu, lebih kurang 100 km dari Bukit Kayu Hitam.

Batu sempadan tersebut menunjukkan bahawa kaum Siam di Malaysia bukannya pendatang tetapi orang asal yang menduduki tanah air sendiri sebelum diserahkan kepada British ekoran pergolakkan politik. Kaum Siam merupakan kaum Bumiputera di Kedah dan seluruh rakyat Kedah memahaminya tetapi di peringkat kebangsaan kaum Siam merupakan kaum bukan Bumiputera berdasarkan Perlembagaan Malaysia Perkara 160 (2).

Baru-baru ini Perdana Menteri menyatakan kaum Siam adalah serumpun dengan kaum melayu di Malaysia semasa Perhimpunan Agung UMNO tetapi kaum Siam Kedah menganggap kenyataan tersebut tidak lebih daripada kenyataan politik semata-mata yang tidak mendatangkan apa-apa makna kepada kaum Siam Kedah selagi Perlembagaan Malaysia Perkara 160 (2) tidak dipinda.

Kaum Siam di Kedah tidak dilayan seperti kaum Bumiputera selama ini. Kaum Siam hanya dapat melabur dalam ASB dan hanya menjadi ahli UMNO sahaja. Lain-lain kemudahan seperti diskaun 5% beli rumah, peluang melanjutkan pelajaran di IPTA, kontraktor kelas F dan banyak lagi tidak diperolehi oleh kaum Siam Kedah yang didakwa sebagai serumpun dengan kaum bumiputera Melayu.

Selagi tiada kenyataan secara berdokumen dan selagi Perlembagaan Malaysia Perkara 160 (2) tidak dipinda, kenyataan mana-mana ahli politik yang menyatakan kaum Siam adalah Bumiputera, kaum Siam adalah serumpun dengan kaum Melayu tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada kaum Siam di Kedah. Bertindaklah dengan bijak bagi membela kaum Siam supaya sokongan kaum Siam kepada parti pemerintah tidak berbelah bahagi.

Sunday, October 17, 2010

Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi.

Pada 16.10.2010, PSK berjaya mengadakan mesyuarat Agung Permulaan Koperasi Kaum Siam Kedah Berhad di Pendang Lake Resort, Pendang, Kedah.

Lebih kurang 50 orang pemimpin-pemimpin masyarakat Siam seluruh Kedah hadir ke mesyuarat tersebut yang bertujuan untuk merealisasikan mandat PSK untuk menubuhkan sebuah koperasi bagi menjana pendapatan untuk kebajikan masyarakat Siam Kedah.

Turut hadir ke mesyuarat tersebut ialah Puan Norzila Bt Nayan, Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Wilayah Kota Setar/Pendang.

Tuesday, October 5, 2010

Sesi perbincangan antara PSK dgn UMNO Kedah.


Pada 10 Ogos 2010 jam 2.00 petang, barisan Ahli Jawatankuasa PSK yang diketuai oleh En. Nop Nai Samrong, Timbalan Pengerusi PSK telah dijemput oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah untuk mengadakan perbincangan bagi mengatasi permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat Siam Kedah.

Sesi perbincangan tersebut diadakan di Tingkat 7, Bangunan UMNO di Alor Setar, Kedah yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Othman Aziz, Setiausaha Kerja UMNO Negeri Kedah. Ini ekoran daripada keluhan masyarakat Siam melalui facebook yang mendapat perhatian UMNO Kedah.

Dalam perbincangan tersebut, PSK telah mengemukakan sebanyak 20 perkara permasalahan yang berkaitan masyarakat Siam Kedah antaranya penubuhan badan khas di bawah JPM untuk menjaga kaum minoriti, peruntukan kewangan untuk sekolah bahasa Siam, pengisian jawatan dalam sektor kerajaan, kemudahan infrastruktur, masalah tanah, masalah kerakyatan, masalah rumah ibadat, masalah kebudayaan, masalah penempatan, status bumiputera dan lain-lain lagi.

Semoga kerjasama antara UMNO Kedah dengan PSK akan sentiasa berterusan demi untuk kemajuan masyarakat Siam di negeri Kedah.

Masyarakat Siam akan menyambut Pesta Loy Krathong pada 21 Nov 2010.


Masyarakat Siam seluruh negeri Kedah akan menyambut Pesta Loy Krathong pada 21 November 2010 untuk tahun ini.

Pastinya ada di antara anda pernah mendengar lirik lagu "Loy Krathong". Namun, ramai juga mungkin tidak tahu apa sebenarnya 'Loy Krathong' itu. Loy Krathong adalah salah satu pesta keramaian popular yang disambut kebanyakan masyarakat berketurunan Siam di seluruh dunia. Malah, ia juga dilihat sebagai satu simbol kekayaan warisan budaya masyarakat berkenaan.

LATAR BELAKANG

Pesta Loy Krathong lazimnya disambut setahun sekali iaitu pada hari ke-15 dalam bulan 12 mengikut kalendar Lunar Siam (sekitar permulaan bulan November). Tarikh berkenaan dipilih kerana dikatakan akan berakhirnya musim hujan dan paras air sungai yang masih tinggi. Tentunya ada di antara anda tertanya-tanya apakah kaitan paras air sungai dengan pesta Loy Krathong ini? Sebenarnya, upacara ini berkait rapat dengan sungai sebagai nadi dan tulang belakang masyarakat Siam.

Perkataan 'Loy Krathong' membawa maksud tersendiri. 'Loy' dalam bahasa Siam bermakna hanyut, manakala 'Krathong' pula adalah bentuk bunga teratai. Jadi, dalam erti kata lain Loy Krathong bermaksud 'menghanyutkan bunga teratai'. Titik tolak sambutan perayaan Loy Krathong adalah berasaskan kepercayaan golongan Brahmin dalam agama Hindu purba. Dikatakan pada suatu ketika, masyarakat Brahmin mengadakan upacara menghanyutkan bungai teratai sebagai tanda penghargaan kepada 'Mae Khongkha' atau Dewi Air pada malam bulan purnama.

Sejak itu, unsur keagamaan berkenaan diserap ke dalam kebudayaan masyarakat kebanyakan negara Asia Tenggara seperti negara Thai, Laos, Myanmar, Kemboja dan Vietnam. Malah warisan budaya berkenaan telah diusahakan dan diwariskan kepada generasi muda lebih daripada 700 tahun.
<>Sungguhpun asal-usulnya dikaitkan dengan upacara keagamaan Hindu, namun masyarakat Siam tetap percaya bahawa Loy Krathong membawa azimat kepada hidup mereka. Dengan itu, wujudlah kepercayaan baru yang mengatakan bahawa segala benda buruk akan hanyut bersama Krathong.

Justeru, di sesetengah tempat dapat dilihat juga di kalangan masyarakat yang menyambut Loy Krathong akan memotong kuku dan rambut pada hari berkenaan untuk tujuan menghanyutkan bersama bunga teratai. Di samping kepercayaan berunsur agama Hindu, terdapat satu lagi lagenda kesusasteraan Siam yang menceritakan asal usul sambutan hari Loy Krathong.

LAGENDA LOY KRATHONG

Lagenda Loy Krathong ini mengatakan pada zaman Sukhothai dahulu, terdapat seorang gundik kanan Raja Lhe Thai yang sangat jelita bernama Nang Noppamas. Nang Noppamas dikatakan mempunyai paras rupa yang cantik dan perawakan terpuji sehinggakan Raja Lhe Thai amat tertarik dengannya. Pada suatu malam, Nang Noppamas telah mengajak Raja Sukhothai ke tebing sungai untuk menyambut upacara itu. Dipercayai beliau adalah orang pertama yang membuat bunga teratai tersebut dan kemudiannya menjadi ikutan ramai.

Keunikan bunga teratai atau Krathong itu ialah ia dibuat daripada batang dan daun pisang. Cara membuat Krathong amat mudah iaitu hanya melipatkan daun-daun pisang dengan kemas sehingga ia menjadi bentuk yang serupa bunga teratai. Selain itu, bagi mencantikkan lagi bunga teratai itu, bunga-bungaan lain juga dimasukkan. Krathong tidak lengkap sekiranya tidak dimasukkan lilin dan tiga batang colok. Namun, peredaran zaman dan kesibukan terutamanya masyarakat bandar telah menyebabkan Krathong kini kebanyakannya diperbuat daripada plastik polystyrene.

Lazimnya, masyarakat Siam akan berkumpul beramai-ramai sejak awal malam lagi di perkarangan Wat (biara Buddha). Masing-masing akan membawa Krathong untuk upacara pembacaan mentera oleh para Bhikkhu (sami Buddha).Tujuan upacara pembacaan mentera diadakan adalah untuk mendapat restu dan kemuliaan daripada para Bhikkhu selaku pendeta agama Buddha.

Di samping itu, ia juga bagi mengelakkan kecelakaan semasa menghanyutkan bunga teratai. Setelah upacara pembacaan mentera tamat, perarakan Krathong akan bermula. Sepanjang perjalanan ke sungai ataupun tasik, lazimnya pasukan paluan gendang panjang akan mengadakan pertunjukkan mereka. Di samping itu, perarakan juga akan diiringi dengan tarian. Menjelang lewat malam, lilin dan colok dalam Krathong yang dibawa bersama akan dinyalakan.

Kemudian, mereka akan mendoakan sesuatu dengan penuh harapan dan menghanyutkannya ke dalam sungai. Malam bulan purnama tersebut diindahkan lagi dengan cahaya lilin Krathong di permukaan air. Cara sambutan hari Loy Krathong kini telah berubah. Pesta Loy Krathong kini semakin meriah berikutan persembahan kebudayaan dan kesenian Siam seperti paluan Klong Yau (gendang panjang) beserta dengan tarian Ramvong. Selain itu, pengunjung pesta Loy Krathong juga dapat menikmati pelbagai juadah masakan ala Siam. Di sesetengah tempat, pesta loy Krathong juga akan dimeriahkan lagi dengan pertandingan ratu cantik. Pertandingan ini dinamakan Noppamas Queen Contest yang diambil sempena nama gundik Raja Lhe Thai.
Di samping itu, kebanyakan hotel di negara Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja menyediakan pakej pelancongan yang menarik untuk pelancong menjelang penyambutan pesta Loy Krathong. malah, pesta ini telah menjadi salah satu daya tarikan para pelancong asing untuk mengunjungi negara berkenaan.

LOY KRATHONG DI MALAYSIA

Sungguhpun begitu, kemeriahan pesta Loy Krathong ini juga turut terasa bagi masyarakat Malaysia terutamanya yang berketurunan Siam. Kepelbagaian kaum, budaya, agama dan adat resam di negara ini terbukti apabila masyarakat Siam di negeri-negeri seperti Kedah, kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Selangor telah menyambut Pesta Loy Krathong dengan meriah.

Pesta ini menjadi kebanggaan masyarakat Siam berikutan ianya menjadi identiti dan warisan budaya dan harus dikekalkan terutamanya dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Keunikan warisan budaya sesuatu kaum harus dikekalkan sejajar dengan negara Malaysia yang latar belakang masyarakatnya pelbagai kaum.

Pesta ini akan dapat memupuk semangat bertolak ansur dan persefahaman di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama. Dengan adanya kepelbagaian budaya, ia dapat menggalakkan persefahaman sesama bangsa. "Kata pepatah, kalau tak kenal maka tak cinta". Sambutan Loy Krathong ini membawa seribu makna terutamanya dalam hal persefahaman antara kaum di Malaysia. Unsur kebudayaan sesuatu kaum ini haruslah diwarisi daripada generasi lama kepada generasi baru.

Jelasnya, dapat diperhatikan bahawa kemeriahan pesta Loy Krathong yang diraikan masyarakat Siam di Malaysia juga turut dikongsi bersama dengan masyarakat pelbagai kaum. Dalam konteks ini, pihak kerajaan seharusnya mempergiatkan lagi usaha untuk mengetengahkan kepelbagaian unsur kebudayaan masyarakat Malaysia.

Monday, October 4, 2010

Jangan main isu agama..


Rata-rata masyarakat Siam seluruh Malaysia cukup marah dengan pemaparan gambar seorang Sami yang tersohor dieditkan dengan wajah seorang ulama yang disanjung tinggi di laman Facebook. Gambar tersebut dimuat naik oleh Naz Wan ( http://www.facebook.com/profile.php?id=100000805087214 ) di dalam FB Pemuda UMNO Perlis ( http://www.facebook.com/profile.php?id=100000805087214#!/photo.php?pid=62564&fbid=107526735950829&op=1&o=global&view=global&subj=107197225976633&id=100000805087214 )

Ada orang yang tidak bertanggungjawab melakukan super imposed terhadap gambar seorang Sami Buddha yang amat dikenali di seluruh dunia iaitu Luang Phor Khoon yang dipadankan dengan seorang ulama Islam terkenal iaitu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan.

Pada pandangan kami, tindakan tersebut amat tidak wajar sekali kerana dianggap menghina agama Buddha dan Islam demi untuk kepentingan politik kotor pihak tertentu. Janganlah kita menghina mana-mana agama melalui laman Facebook atau mana-mana laman dalam Internet. Tindakan tersebut boleh menggugatkan perkauman di negara kita yang mempunyai masyarakat majmuk.

Haruslah berhati-hati dengan isu yang sensitif. Berpolitik biarlah dilandasan yang betul bukannya berpolitik secara binatang. Harap ada pihak berkuasa yang berkenaan dapat mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat agar perkara ini tidak berulang di masa akan datang.