Wednesday, April 18, 2012

PSK masih relevan tapi dipinggirkan.


Persatuan Siam Kedah (PSK) masih relevan untuk mewakili masyarakat Siam di negeri Kedah. PSK telah ditubuhkan pada tahun 2008 bagi menggantikan Persatuan Masyarakat Siam Kedah/Perlis yang telah dibatalkan pendaftaran pada tahun 1997.

Ini adalah ekoran perasaan kecewa sesetengah pemimpin Siam Kedah di atas perlantikan Senator pada tahun 1996. Sementara Senator ketika itu pula mengutarakan pandangan agar semua masyarakat Siam harus bernaung di bawah payung Persatuan Siam Malaysia (PSM) sahaja. Persatuan-persatuan lain dinasihatkan untuk dibubarkan bagi memperlihatkan masyarakat Siam Malaysia telah bersatu-padu.

Tujuan penubuhan PSK bukannya untuk merebut apa-apa jawatan di peringkat kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri. Pihak kami hanya bertindak untuk memperjuangkan hak kaum Siam Kedah dari pelbagai aspek pembangunan.

Tapi malangnya, kelahiran PSK tidak dihargai oleh kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Mereka menganggap seolah-olah PSK ini tidak wujud. Program kerajaan Pusat seperti lawatan PM berjumpa dengan masyarakat Siam di Wat Titi Akar dan Wat Nanai, Pendang, Kedah pada 25 Februari 2012,, PSK tidak diajak untuk turut serta bagi menggarapkan tenaga membantu menjayakannya.

PSK cuba melaksanakan beberapa program di peringkat negeri dengan kemampuan sendiri tapi cuba dihalang oleh pihak tertentu yang takut bayang-bayang sendiri sekiranya PSK berpengaruh di kalangan kaum Siam Kedah. Keadaan beginilah jadinya, sekiranya pemimpin Siam dilantik melalui pintu belakang.

Malangnya PSK kekurangan dari segi sumber kewangan. Sekiranya PSK mempunyai sumber kewangan yang kukuh, maka sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan menyatupadukan kaum Siam dan mengatasi masalah kaum Siam menjelang PRU13. Kami percaya parti-parti lain tidak akan berjaya mempengaruhi kaum Siam dengan agenda tersembunyi mereka bagi memecah kubu kuat BN.

PSK amat berterima kasih kepada PM kerana memberi peruntukan RM500,000 kepada Wat Titi Akar, RM400,000 kepada Wat Nanai, RM300,000 untuk tempat pembakaran mayat Siam di Jitra dan RM9,000 kepada semua ketua-ketua Sami seluruh Kedah. Sekiranya PM juga dapat meluluskan sejumlah peruntukan untuk NGO-NGO Siam maka para pemimpin Siam juga akan mempunyai kekuatan untuk menggerakkan jentera membantu kerajaan bagi menghadapi PRU13 yang menjelang tiba.

Walaupun PSK masih aktif tapi dalam keadaan merangkak maka agak sukar untuk mengambil sebarang tindakan bagi membantu kerajaan bagi menghadapi PRU13. Harapan saya agar YAB Perdana Menteri akan terus memimpin negara selepas PRU13.