Tuesday, November 9, 2010

Misi bantuan mangsa banjir di Kg. Huma, Jitra.

Pada 1.11.2010, Negeri Kedah telah dilanda bencana banjir yang paling dahsyat. Bencana ini bermula di Bangkok, Thailand dan seterusnya ke selatan Thailand dan akhirnya melanda di Kedah dan Perlis.

Terdapat beberapa perkampungan masyarakat Siam di sekitar Jitra terlibat dengan banjir. Banjir kali ini dikatakan yang paling teruk sekali dalam ingatan mereka. Ada rumah tenggelam sampai ke paras bumbung. Semua peralatan yang berada dalam rumah musnah sama sekali. Banjir tersebut melanda awal pagi sehingga ramai penduduk tidak sempat untuk menyelamatkan harta benda yang berharga.

Bekalan elektrik dan air bersih juga dipotong untuk menggelak daripada berlaku mala petaka yang lebih buruk lagi. Beribu-ribu mangsa banjir menghadapi kesukaran dan hanya memikir soal keselamatan, makanan dan penginapan sahaja. Pelbagai pihak telah tampil untuk menghulurkan bantuan. Ada juga pihak yang cuba mengambil kesempatan dan mempolitikkan keadaan.

Pihak PSK tidak duduk diam dan cuba menghubungi ahli2 melalui telefon bimbit untuk berbincang bentuk bantuan yang mampu disalurkan. Akhirnya dengan rangkaian yang ada pihak PSK telah mewujudkan team sukarelawan untuk mengutip beras dan barangan makanan kering daripada wat-wat Siam untuk membantu mangsa banjir di Kg. Huma, Jitra.

Pada 7.11.2010 jam 2.00 petang, seramai 4 orang AJK PSK dengan sebuah van dan sebuah kereta telah memulakan misi bantuan mangsa banjir. Pihak PSK mendapat sumbangan barangan daripada Wat Kg. Cina, Wat Praimai, Wat Dangpleng, Wat Kalai, Wat Trokdang dan Wat Chanhorm. Lain wat, pihak kami gagal berhubung dgn ketua sami kerana waktu terdesak dan tiada perancangan awal.

Pada jam 6.00 petang, pihak PSK telah berjaya menyerahkan lebih kurang 100 kampit beras sekitar 500 kg dan barang-barang kering seperti gula, beehoon, minyak masak dll kepada En. Cam Nat, Pengerusi JKKKP Kg. Huma merangkap Ahli Jawatankuasa PSK. Tok Ketua sendiri mengalami kerugian lebih kurang RM100k kerana 8 buah kolam ikan kelinya tenggelam.

Semoga semua mangsa banjir tabah menghadapi dugaan hidup.