Saturday, April 16, 2011

Jemputan Khas dari Timbalan Menteri di JPM

Pada 16 April 2011, YB Senator Dato' Dr Mashitah Binti Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan Jamuan Makan Malam bersama masyarakat Siam daerah Baling sempena Sambutan Pesta Songkran 2011.

Seramai lebih 1,000 orang masyarakat Siam daerah Baling hadir daripada Kg. Simpang Empat, Pekan Baling, Kg. Sirako, Kg. Tas, Kg. Thai Pegang, Kg. Lengkuas dan Kg. Tanah Lincin. Pihak PSK telah mendapat jemputan khas daripada YB. Senator Dato' Dr. Mashitah Binti Ibrahim sebagai tetamu khas pada malam tersebut.

Pihak PSK hadir bukannya mewakili mana-mana pihak seperti yang disebutkan dalam senarai protokol yang disediakan. Pihak kami telah merujuk perkara ini kepada Setiausaha Sulit YB Senator Dato' Mashitah. Mereka mohon maaf di atas kesilapan tersebut. Dalam majlis tersebut beliau telah menyampaikan sumbangan kepada wat-wat Siam di daerah baling dan juga sumbangan kepada PSM Caw Baling dan cawangan Kg. Lengkuas.

Terima kasih Dato' kerana mengambil berat tentang kebajikan masyarakat Siam daerah Baling.

Monday, April 4, 2011

Menambahkan ilmu mematangkan pemimpin.

Pada 29 - 30 Mac 2011, PSK telah menghantar 3 orang AJK menghadiri Kursus Asas tentang pengurusan koperasi baru di Hotel Darulaman, Jitra, Kedah. Pada 5 - 6 April 2011, PSK telah menghantar 4 orang Ahli Lembaga Koperasi Ko-Kasih menghadiri kursus peranan Ahli Lembaga Koperasi di Hotel Darulaman, Jitra, Kedah. Penginapan dan makan minum disediakan oleh pihak Maktab Koperasi Malaysia. Program ini bagus untuk melatih pemimpin-pemimpin Koperasi Kaum Siam Kedah Berhad (Ko-Kasih) dari segi pengurusan dan selok belok perniagaan secara berkumpulan. Sila hubungilah saya (Manit Sripradit, Setiausaha Ko-Kasih: 019-5697868), jika anda berminat dan ingin menjadi ahli Ko-Kasih.

Saturday, April 2, 2011

Kronologi usaha PSK mengatasi masalah IC merah.

Semasa kempen pilihanraya kecil Bukit Selambau ekoran perletakan jawatan YB Arumugam sebagai ADUN dan EXCO, rata-rata masyarakat Siam membangkitkan isu IC Merah yang masih belum berjaya diatasi.

Pada 5.4.2009: Pihak PSK telah membawa Datuk Latt Shariman Abdullah, Pegawai Khas kepada Perdana Menteri untuk berjumpa dan mendengar rintihan masyarakat Siam Bukit Selambau tentang permasalahan IC Merah.

Seterusnya beberapa sessi perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PSK telah diadakan untuk mendapat kata sepakat bagi mengatasi masalah ini.

Pada 16.5.2009: Cabutan minit mesyuarat AJK PSK Bil 1/2009 [ Masalah IC Merah, perlu dapat maklumat lengkap dan perlu adakan mesyuarat bersama-sama pemimpin-pemimpin Siam dan ketua-ketua kampung Siam seluruh Negeri Kedah.]

Pada 20.6.2009: Cabutan minit mesyuarat AJK PSK Bil 2/2009 [Surat pungutan maklumat IC merah telah dikeluarkan kepada semua ketua-ketua kampung seluruh negeri Kedah dan tempoh hantar balik maklumat tersebut sebelum 30.6.2009]

Pada 8.11.2009: Cabutan minit mesyuarat AJK PSK Bil 3/2009 [Surat mengenai masalah IC merah telah dihantar ke Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan selanjutnya.]

Pada 7.3.2010: Cabutan minit mesyuarat AJK PSK Bil 1/2010 [Kumpulkan semua maklumat lengkap tentang pemegang IC merah sebelum PSK sediakan Memorundum dan berjumpa dengan YB Menteri Dalam Negeri.]

JUN, 2010: Setiausaha PSK telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa orang pegawai atasan PDRM Cawangan Khas untuk mohon kerjasama mengatasi masalah IC Merah di kalangan masyarakat Siam Kedah. Perjumpaan ini adalah atas inisiatif Sjn Khayan.

Pada 10.8.2010: Seramai 8 orang AJK PSK mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah bagi membincangkan permasalahan masyarakat Siam Kedah. Sebanyak 20 permasalahan dikemukakan termasuk masalah IC Merah.

Pada 28.8.2010: Cabutan minit mesyuarat AJK PSK Bil 2/2010 [En. Tang a/l Edam memaklumkan bahawa pihak PDRM cawangan Khas telah menghubungi semua ketua-ketua Kampung Siam untuk mendapat maklumat tambahan pemegang IC merah. Pihak PDRM akan membantu mengatasi masalah ini.]

Pada 12.3.2011: Mendapat maklumat daripada PDRM cawangan Khas tentang Penganjuran Program mengisi borang pertukaran IC merah di Wat Jitra pada 26.3.2011. Setiausaha PSK menghubungi semua pemimpin masyarakat Siam seluruh Kedah untuk memaklumkan perkara ini.

Pada 22.3.2011: Setiausaha PSK ke IPK Kedah berbincang mengenai penganjuran program di Wat Jitra. Pihak PDRM Cawangan Khas memaklumkan bahawa mereka tidak mahu menjemput mana-mana VVIP untuk hadir. Mereka juga tidak mengalu-alukan kehadiran para media untuk membuat liputan. Mereka memohon kerjasama PSK agar dapat menyebar maklumat ini kepada semua pemimpin-pemimpin masyarakat Siam Kedah.

Pada 26.3.2011: Program Pengisian Borang Pertukaran IC Merah kepada IC Biru telah diadakan di Wat Jitraram, Jitra, Kedah pada 26.3.2011. Lebih kurang 350 orang hadir. Terima kasih kepada pihak Wat Jitraram kerana menyediakan makanan kepada orang ramai yang hadir pada hari tersebut.

Monday, March 21, 2011

Keluhan pelajar keturunan Siam.


Pihak PSK telah mendapat aduan daripada para pelajar keturunan Siam warganegara Malaysia melalui FACEBOOK dan FORUM Pekemas tentang masalah pendaftaran on-line ke universiti.

Mereka mengeluh kerana tiada istilah bangsa "SIAM" dalam senarai kategori bangsa yang dipaparkan dalam sistem komputer universiti. Hanya yang ada ialah bangsa "SIAN" dan "LAIN-LAIN Bangsa Asia".

Keadaan ini amat mengelirukan kepada para pelajar keturunan Siam dalam proses pendaftaran kemasukan ke universiti tempatan secara on-line.

Pihak PSK telah mengutuskan surat aduan secara rasmi kepada pihak berkenaan melalui fax pada 21 Mac 2011. Berharap agar pihak berkenaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengatasi masalah ini.

Sebagai makluman, kami adalah keturunan "SIAM" warganegara Malaysia yang berstatus Bumiputera seperti yang dilaungkan oleh beberapa orang menteri kabinet.

Saturday, March 12, 2011

Mesyuarat Agung Tahunan PSK Kali Ke 3









Pada 12 Mac 2011, PSK telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan bagi kali ke 3 di Wat Boonyaram, Padang Sera, Kodiang, Kedah. Kehadiran hampir 200 orang ahli ke mesyuarat tersebut yang dirasmikan oleh YB Dato' Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

Turut hadir ialah YB Senator Boon Som Inong bagi membuktikan bahawa PSK sentiasa bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang dilantik oleh PM sebagai senator bagi mewakili masyarakat Siam di Parlimen.

Terima kasih juga kepada En. Siri Neng Buah, Presiden Persatuan Siam Malaysia yang baru. Kehadiran beliau membuktikan bahawa tiada perpecahan di kalangan masyarakat Siam Malaysia. PSM dan PSK boleh duduk semeja dan bekerjasama untuk membangunkan masyarakat Siam.

Beberapa orang pengerusi JKKKP Siam yg sanggup datang dari jauh dengan bertujuan untuk memberi sokongan moral kepada PSK juga amat-amat dihargai. Oleh itu, kita tak boleh toleh ke belakang lagi. Kita harus mara ke hadapan untuk merealisasikan hasrat masyarakat Siam Malaysia dalam arus pembangunan selaras dengan kemajuan negara.

Senarai Ahli Jawatankuasa Persatuan Siam Kedah Bagi Penggal 2011/2012.

Penasihat: En. Nop a/l Nai Samrong - Pesara DSP Polis
Pengerusi: En. Bun Yin a/l Ai An - GLC
Timbalan Pengerusi: En. Ai Cha Ran a/l Din Chee Ron - Peguam
Setiausaha: En. Manit a/l See Nam - Pegawai Penerangan
Pen. Setiausaha: En. Ee Oon @ Din Chok a/l Edin Proot - Ketua UMNO caw Kg. Cina.
Bendahari: En. Nai Anek a/l Ai Nam - Pengerusi JKKKP Kg. Kalai
Ahli Jawatankuasa:
1. En. Som Mad a/l Iruang - Pemimpin belia Kg. Tok Set
2. En. Ie Reang a/l Huan - Pengerusi JKKKP Kg. Tok Set
3. En. Pricha a/l Choo Beng - Kg. Tong Prok
4. En. Cham Nat a/l Iprat - Pengerusi JKKKP Kg. Huma
5. Pn. Kan Ya a/p E.Perom - Pengerusi JKKKP Kg. Sungai Kap
6. Pn. Wan Lek a/p Tan Lim - Pengerusi JKKKP Kg. Tanjung, Pedu
7. En. Tin @ Pin a/l Endin Klap - Sungai Petani
8. Pn. Juni a/p Echeng - Bukit Selambau
9. En. E Friang a/l Din Prom - Pengerusi JKKKP Kg. Titi Akar
10. En. Achiang a/l Endin Nai - Pengerusi JKKKP Kg. Chong
11. En. Po Chew a/l Din Chor - Pen. Setiausaha Wat Boonyaram
12. En. I Kean a/l Endin See - Setiausaha JKKKP Kg. Kalai
13. En. Prak Sat a/l Lean - Ketua Kampung Padung
14. En. Tan @ Tang a/l Edam - Pegawai Khas Tok Det (ADUN Pedu)
Juru Audit
1. En. Ia Lun a/l Endin Chen - Kg. Begia
2. En. Boon Rit a/l Din Kran - Kg. Titi Akar

Sunday, February 27, 2011

Mesyuarat Penganjuran Pesta Songkran Kali ke 2.






Persatuan Siam Kedah telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa PSK pada 26.2.2011 di Padang Peliang bagi membincangkan secara detail penganjuran Pesta Songkran 1Malaysia 2011.

Sebagai persiapan untuk PSK membentangnya dalam Mesyuarat Induk Pesta Songkran yang akan diadakan pada 8.3.2011 di Kompleks RTM, Alor Setar, Kedah. Antara wakil masyarakat Siam yang akan dijemput ialah:

1. YB Senator Boon Som Inong
2. En. Siri Neng Buah, Presiden PSM
3. En. Bun Yin a/l Ai An, Pengerusi PSK
4. En. Tang a/l Edam, Setiausaha Pekemas
5. En. Ei Reang a/l Huan, Pengerusi Komuniti Bestari Masyarakat Siam Pendang
6. En. Efriang, Pengerusi JKKKP Kg. Titi Akar
7. En. Manit a/l See Nam, Urusetia wakil jabatan
8. En. Som Pon a/l Pitsi, Urusetia wakil jabatan

Sunday, February 20, 2011

Mesyuarat Penganjuran Pesta Songkran 1Malaysia 2011












Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Siam Kedah akan menganjurkan Pesta Songkran 1Malaysia 2011 pada 15 - 17 April 2011 di Kg. Titi Akar, Pendang, Kedah.

Mesyuarat Permulaan Penganjuran Pesta Songkran 1Malaysia 2011 antara Jabatan Penerangan dan PSK telah diadakan di Pendang Lake Resort, Pendang, Kedah pada 19 Feb 2011 jam 8.30 malam. Seramai 50 orang pemimpin masyarakat Siam seluruh negeri Kedah hadir.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YBhg. En. Masnoor Ashaari, Pengarah Penerangan Negeri Kedah. Turut hadir ialah YB Senator Boon Som Inong, En. Bun Yin a/l Ai An, Pengerusi PSK, Penolong Pengarah Penerangan dan Pegawai Penerangan Daerah Pendang.

Pergerakan mesyuarat tersebut berjalan lancar. Pemimpin masyarakat Siam Kedah sebulat suara menerima anjuran bersama melalui PSK. Semoga penganjuran Pesta Songkran 1Malaysia berjalan lancar demi utk menaikkan imej masyarakat Siam.

Dijangka YAB Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia akan hadir untuk merasmikan pesta tersebut.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas PSK.















Pada 11.2.2011 jam 8.00 malam, PSK telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Khas di Wat Boonyaram, Padang Sera bagi membincangkan persiapan Mesyuarat Agung Tahunan PSK bagi Kali ke 3 Tahun 2010.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh wakil daripada Jawatankuasa Wat Boonyaram. Beberapa keputusan pembaharuan telah dipersetujui bersama bagi melicinkan majlis tersebut.

Pihak YB Datuk Mukriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan juga YB Senator Boonsom Inong yang mewakili masyarakat Siam di Parlimen telah bersetuju untuk hadir bersama-sama masyarakat Siam pada hari tersebut.

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PSK dijangka akan diadakan pada 12 Mac 2011 jam 2.00 petang. Semua masyarakat Siam seluruh Kedah dijemput hadir utk beramah mesra bersama YB Datuk Mukriz Mahathir dan YB Senator Boonsom Inong.

Thursday, February 10, 2011

Kancana dalam kenangan.


Cik Kanchana Tan Kran, Setiausaha PSM cawangan Baling telah meninggal dunia pagi tadi di Hospital Selayang kerana masalah imuniti dalam badan. Beliau seorang yang baik dan aktif berkhidmat kepada masyarakat. Semua warga PSK mendoakan agar Cik Kancana pai su sukkhatik.

Beliau lahir pada 21.3.1960 dan meninggal dunia pada 11.2.2011 jam 4.30 pagi di Hospital Selayang, Kuala Lumpur. Mayat beliau akan disempurnakan di Wat Phrasrimahapho, Kg. Simpang Empat, Baling, Kedah. pembakaran mayatnya akan dilakukan pada 14.2.2011 jam 1.30 ptg di Baling.

Monday, January 31, 2011

Misteri Etnik: Belajar bahasa Thai satu kemestian anak masyarakat Siam.

Misteri Etnik: Belajar bahasa Thai satu kemestian anak masyarakat Siam
Oleh Azrul Affandi Sobryazr@bharian.com.my
2011/01/11


PELAJAR etnik Siam tekun mengikuti kelas Bahasa Thai di Wat Boonyaram Padang Sira.

SAWAH padi di Kampung Kubang Chenok yang diusahakan masyarakat Thai.

Masyarakat Thai yang membuka kedai runcit.

MASYARAKAT Thai yang membuka kedai runcit.Kebanyakan wat Siam di Kedah tubuh sekolah bahasa sebagai pendidikan formal bagi mendalami agamaBAHASA jiwa bangsa. Bahasa turut membentuk jati diri sesuatu tamadun masyarakat supaya terus kekal utuh mempertahankan cara hidup dan budaya mereka. Lantaran itu, di mana saja, setiap aktivis masyarakat seboleh-bolehnya akan memastikan bahasa khusus mereka terus digunakan secara meluas.

Begitu juga dengan masyarakat Siam di negara ini yang melihat perkembangan bahasa Thai dalam komuniti mereka lebih penting kerana ia bukan sekadar menjadi bahasa pertuturan tetapi lebih lagi apabila menjadi satu bahasa rasmi dalam urusan keagamaan.

Namun, masalah utama yang dihadapi mereka ialah bahasa Thai sukar dipelajari secara pertuturan harian kerana terlalu banyak pecahannya. Malah, ramai penutur bahasa itu dalam kalangan orang lama tidak mahir menulis bahasa Thai. Lebih menyukarkan keadaan kerana tiada subjek itu di sekolah rasmi.

Justeru, bagi membolehkan bahasa itu tidak tenggelam dan masih dituturkan dengan berkesan oleh semua lapisan usia, setiap wat Siam di kebanyakan kawasan terutama di Kedah menubuhkan sekolah bahasa Thai yang kini menjadi pendidikan formal kedua kepada pelajar Siam.

Pusat Pendidikan Bahasa Thai Wat Boonyaram di Padang Sira, adalah satu contoh terbaik bagaimana perkembangan bahasa itu diperluaskan kepada semua pelajar. Ia diasaskan Ketua Sami Kedah-Perlis, seorang anak tempatan, Phrathep Mongkola Yan pada awal 1960-an.

Penubuhan sekolah bahasa Thai di Wat Boonyaram ketika itu selepas terdorong oleh kesedaran mahu mengembangkan bahasa Thai kepada semua penduduk di sekitar Padang Sira. Paling utama, penubuhan sekolah itu untuk membolehkan semua pelajar mendalami ajaran Buddha kerana kebanyakan buku dan kitab agama ditulis dalam bahasa Thai.

“Ketika itu, tumpuan kelas bahasa Thai terbuka kepada semua peringkat usia. Ia bukan paksaan tetapi disertai ramai orang. Ketika itu, ramai sami tempatan menjadi tenaga pengajar, namun kini kebanyakannya dikendalikan oleh sami dari Thailand kerana sejak 20 tahun dulu, kurang anak tempatan berkeupayaan sebagai pengajar.

“Kelas bahasa Thai di semua Wat Siam kini diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu serta ada dua sesi iaitu pagi dan petang. Selain itu, jika ada cuti persekolahan, sesi pengajarannya akan bertambah. Pendek kata, ia menjadi sekolah kedua kepada pelajar Siam selepas belajar di sekolah kebangsaan.

“Dua sesi setiap hari itu untuk tahap berbeza. Ada beberapa peringkat pengajian di situ iaitu TADIKA tahap satu dan dua, darjah satu hingga empat dan kelas agama tahap satu hingga tiga,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Bahasa Thai Wat Boonyaram, Aieam Khai, 57.

Uniknya sistem pendidikan di situ ialah semua peringkat itu bukan berdasarkan usia tetapi sesiapa yang tidak lulus dalam mana-mana peringkat tidak layak untuk masuk ke peringkat seterusnya. Ia menjadikan ada pelbagai lapisan usia dalam setiap peringkat pembelajaran.

Peperiksaan yang diduduki oleh pelajar di situ menggunakan modul ujian dari Thailand dan selepas melepasi darjah empat di mana pelajar sudah menguasai kemahiran membuat ayat dan mengarang dalam bahasa Thai, barulah dia layak memasuki kelas agama.

Ini kerana, selagi seseorang pelajar tidak menguasai kemahiran mengarang, agak sukar untuknya mendalami agama yang pada peringkat itu menuntut pelajar membuat ayat dan menjawab soalan berbentuk subjektif yang disediakan majlis pendidikan wat Siam di Thailand.

“Enam tahap bukan bermakna enam tahun pengajian. Ada yang memakan masa sampai lapan tahun baru boleh masuk kelas agama.

“Ada pula yang tidak sampai enam tahun kerana lompat kelas. Biasanya semua tahap itu termasuk kelas agama dapat disudahkan sebelum usianya 17 tahun (tingkatan lima).

“Dalam sekolah bahasa Thai, hanya dua perkara menjadi fokus iaitu bahasa dan agama. Tidak ada subjek lain.

“Semua tahap peperiksaan pula ada sijil yang dikeluarkan Jabatan Pelajaran dan Agama dari Thailand. Malah soalannya sama dengan yang digunakan di Thailand.

“Memiliki sijil itu juga sebenarnya memberi satu kelebihan kepada pelajar itu kerana ketika memohon kerja nanti, terutama pekerjaan yang berkaitan dengan sempadan Thailand seperti Kastam dan Imigresen, ia akan dianggap satu bonus untuk dipertimbangkan,” katanya.

“Sebenarnya, penguasaan bahasa Thai ini bukan sekadar menunjukkan mereka boleh bertutur tetapi sebagai petunjuk yang mereka juga menguasai agama.

“Boleh dikatakan, sesiapa yang tidak kuasai bahasa Thai, tidak juga menguasai agama kerana semua kitab dan pengajian agama dalam bahasa Thai.

“Tiada paksaan memasuki kelas ini, tidak wajib tetapi sudah menjadi tanggungjawab setiap keluarga untuk memastikan anak menyertainya. Agak janggal dan dipandang serong nanti oleh masyarakat jika ada keluarga yang tidak menghantar anak ke kelas ini,” tambah Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, Charun Em.

Kelas bahasa Thai di Wat Siam juga menjadi bukti kukuh menunjukkan betapa peranan pusat ibadat masyarakat Siam itu tidak sekadar menjadi lokasi keagamaan tetapi dirangkum bersama peranan memantapkan bahasa dan budaya serta aspek kesenian.

Namun, disebabkan lokasi Wat Boonyaram agak jauh dari beberapa kampung lain, kelas bahasa Thai turut dibuka ke cawangan lain seperti di Pida Lapan, Sanglang, Kodiang, Changlun, Guar Napai dan Guar Nangka. Di Wat Boonyaram sendiri, kini ada 245 pelajar dalam pelbagai tahap.

Yuran pengajian kelas itu pula sangat rendah iaitu hanya RM60 untuk satu keluarga. Kos elaun guru pula selalunya ditanggung oleh tabung Wat Boonyaram yang disumbang oleh masyarakat Siam setempat.

Wat Boonyaram kini mempunyai 13 guru yang didatangkan dari Thailand dengan dua anak tempatan dan setiap sesi pembelajaran diadakan selama tiga jam iaitu antara jam 8 hingga 11 pagi dan jam 2 hingga 5.30 petang.

Dalam konteks ekonomi, masyarakat Siam terutama di Kedah masih menjadikan pertanian sebagai aktiviti utama dengan kebanyakannya mengusahakan sawah padi dan menoreh getah.

Dapat dilihat, sepanjang perjalanan memasuki kampung Kubang Chenok, ia dihiasi pemandangan sawah padi yang terbentang meluas selain kiri kanan jalan yang dilatari deretan pokok getah.

Bekas Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi Kepenggunaan Perlis, San Yap, 61, berkata walaupun masih ramai bertani, perkembangan ekonomi dan cara hidup masyarakat Siam sudah menampakkan perubahan ketara dengan kini semua orang sudah mampu memiliki kereta dan mendirikan rumah selesa.

“Dulu, 99 peratus orang Siam bertani. Di Ayer Hitam dan Sanglang, semua bersawah padi. Pendidikan juga tidak begitu diberi keutamaan. Kini, ia nyata berubah. Ramai sudah jadi kakitangan kerajaan dan berpangkat besar. Ramai juga sudah masuk universiti.

“Mungkin perubahan ini kerana sudah ada sekolah di kampung. Berbeza dengan zaman dulu kerana kami terpaksa menumpang di wat Siam jika mahu mudah ke sekolah. Kerana itulah orang Siam menganggap wat Siam sebagai pusat perkembangan agama, pendidikan dan budaya.
“Meskipun orang Siam sudah menunjukkan peningkatan dalam cara hidup dan ekonomi, persaingan kami dengan bangsa lain sangat ketara kerana masalah kuota.

“Namun, sejak ada kejayaan yang dicapai orang Siam sebelum ini seperti Bekas Pengarah Kastam Kedah, Datuk Charern Intachat yang turut diangkat sebagai Senator Dewan Negara pertama masyarakat Siam sekali gus menjadi pencetus semangat komuniti ini,” katanya.

Perubahan dan kemampuan masyarakat Siam untuk bersaing banyak didorong oleh sikap utama masyarakat ini yang kuat bekerja dan berani meneroka kawasan baru. Malah, hingga kini mereka masih gemar membeli tanah baru untuk memperluaskan aset pertanian.

Namun, menurut San Yap, masyarakat Siam agak ketinggalan dalam aktiviti perniagaan.

Ia mungkin disebabkan kurangnya peluang mereka mendapatkan pinjaman dan tapak perniagaan berbanding masyarakat lain.

Tidak banyak peniaga besar dalam masyarakat mereka. Jika adapun, hanya perniagaan kecil-kecilan.

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MisteriEtnik_BelajarbahasaThaisatukemestiananakmasyarakatSiam/Article/

Wednesday, January 26, 2011

Kerajaan Negeri janji teliti masalah.

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri akan meneliti masalah permohonan tanah untuk tujuan pertanian oleh masyarakat Siam di negeri ini bagi mengetahui punca sebenar kesukaran mereka mendapatkannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, aduan masyarakat Siam mengenai kesukaran memperolahi Sijil Pertanian Siam yang diperlukan bagi membolehkan mereka memohon Tanah Rizab Melayu perlu diberikan perhatian memandangkan perkara itu kebiasaannya diuruskan bahagian Pentadbir Tanah dan Daerah di setiap kawasan.

Menurutnya, kebiasaannya permohonan yang dibuat di bahagian itu tidak dipanjangkan ke pengetahuan Kerajaan negeri setelah dianggap tidak layak.

"Setakat ini, saya masih tidak dapat sebarang aduan berkenaan perkara itu daripada mana-mana individu berketurunan Siam.

"Saya juga meminta mereka datang menemui saya di pejabat bagi memberi penjelasan lanjut berkenaan isu ini," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Phahrolrazi berkata, pihaknya tidak menafikan terdapat ramai individu dari golongan Siam yang memperoleh Tanah Rizab Melayu dengan menggunakan Sijil Pertanian Siam.

"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan untuk menyerahkan tanah kepada masyarakat Siam bukan melalui Rizab Melayu sebagai alternatif untuk mengurangkan bebanan kepada mereka," katanya. (Apakah maksud ayat ini?)

Sebelum ini, Kerajaan Negeri digesa menyelesaikan masalah Sijil Pertanian Siam yang menjadi penghalang kepada masyarakat keturunan itu meneruskan bidang pertanian yang menjadi sumber ekonomi negeri.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Boon Som Inong berkata, masyarakat Siam percaya tempoh menunggu yang lama bagi mendapatkan sijil itu antara satu hingga tiga tahun tidak wajar dan perlu dipercepatkan.

"permintaan masyarakat Siam dianggap wajar kerana mereka mahu diberi peluang sama seperti rakyat lain yang menyahut seruan kerajaan membangunkan ekonomi negara melalui sektor pertanian," katanya yang juga Penasihat Penyelaras Pembangunan Masyarakat Siam Pendang.

Sumber: Sinar harian, 27.1.2011 ms U5..

Prosedur Sijil Pertanian Siam dibentang mac ini.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan membuat keputusan sama ada prosedur permohonan Sijil Pertanian Siam masih relevan digunapakai atau sebaliknya selepas kajian mengenai isu itu dibentangkan pada Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, S. Manikumar berkata, kajian tentang perkara itu sedang disiapkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri setelah masalah tersebut dibangkitkan pada tahun lalu.

"Hasil kajian akan dimasukkan ke dalam kertas kerja yang akan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Masyarakat Siam pada Mac ini.

"Hanya selepas itu, barulah kita putuskan sama ada mahu meneruskankan prosedur sedia ada atau digantikan dengan prosedur lain yang lebih sesuai," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan masyarakat keturunan Siam agar kerajaan Kedah menyelesaikan masalah Sijil Pertanian Siam yang menjadi penghalang kepada mereka untuk menjalankan pertanian di Tanah Rizab Melayu.

Kosmo! semalam melaporkan dakwaan Senator Boon Som Inong berhubung tempoh menunggu permohonan untuk mendapatkan sijil tersebut yang memakan masa di antara setahun hingga tiga tahun.

Boon Som Inong menyifatkan tempoh menunggu itu terlalu lama dan perlu dipendekkan untuk mengelakkan pemohon menghadapi kesulitan.Sijil Pertanian Siam adalah satu dokumen yang diperlukan sebelum mereka boleh memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini untuk diusahakan dengan kegiatan pertanian.

Sumber: Kosmo! 27.1.2011 ms 16

Kerajaan Negeri digesa selesai masalah tanah Siam.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah digesa menyelesaikan masalah Sijil Pertanian Siam yang menjadi penghalang kepada masyarakat keturunan itu meneruskan kesinambungan bidang pertanian yang menjadi sumber ekonomi negara.

Senator Boon Som Inong berkata, masyarakat Siam di negeri ini aktif mengusahakan bidang pertanian seperti tanaman padi dan getah sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Katanya, kedua-dua jenis pertanian itu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan padi menjadi makanan utama rakyat sementara getah adalah komoditi utama negara.

"Masyarakat Siam percaya tempoh menunggu yang lama bagi mendapatkan sijil itu antara satu hingga tiga tahun tidak wajar dan perlu dipendekkan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! kelmarin mengenai Sijil Pertanian Siam yang diperlukan bagi membolehkan individu keturunan Siam memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini yang menjadi satu beban kepada masyarakat berkenaan.

Tempoh menunggu permohonan untuk mendapatkan sijil tersebut di antara setahun hingga tiga tahun disifatkan oleh masyarakat Siam sebagai terlalu lama dan menimbulkan pelbagai masalah.
Boon Som Inong memberitahu permintaan masyarakat Siam itu dianggap wajar kerana mereka mahu diberi peluang sama seperti rakyat lain menyahut seruan kerajaan membangunkan ekonomi negara melalui sektor pertanian.

Sumber: Kosmo, 26.1.2011 ms 18

Monday, January 24, 2011

Selesaikan isu Sijil Pertanian Siam.

ALOR SETAR 24 Jan – Kerajaan PAS Kedah digesa menyelesaikan masalah Sijil Pertanian Siam yang kini menjadi penghalang kepada masyarakat keturunan itu untuk terus terlibat dalam bidang pertanian.

Senator Boon Som Inong berkata, masyarakat Siam di negeri ini sememangnya dikenali suka mengusahakan bidang pertanian seperti tanaman padi dan getah sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Beliau berkata, kedua-dua jenis pertanian itu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan padi menjadi makanan utama rakyat manakala getah adalah komoditi utama negara.

Menurut Boon Som Inong, sekiranya kegiatan ekonomi utama itu terhalang hanya kerana masalah birokrasi, ia adalah sesuatu yang akan merugikan negara.

“Masyarakat Siam percaya tempoh menunggu yang lama bagi mendapatkan sijil tersebut antara satu hingga tiga tahun adalah tidak wajar dan perlu dipendekkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai Sijil Pertanian Siam yang diperlukan bagi membolehkan individu berketurunan Siam memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini kini menjadi satu beban kepada masyarakat berkenaan.

Tempoh menunggu permohonan untuk mendapatkan sijil tersebut antara setahun hingga tiga tahun disifatkan oleh masyarakat Siam sebagai terlalu lama dan menimbulkan pelbagai masalah.

Sijil Pertanian Siam adalah satu dokumen yang diperlukan sebelum mereka boleh memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini untuk diusahakan dengan kegiatan pertanian.


Sumber: Utusan Malaysia, 25 Jan 2011, ms 25.