Monday, January 24, 2011

Selesaikan isu Sijil Pertanian Siam.

ALOR SETAR 24 Jan – Kerajaan PAS Kedah digesa menyelesaikan masalah Sijil Pertanian Siam yang kini menjadi penghalang kepada masyarakat keturunan itu untuk terus terlibat dalam bidang pertanian.

Senator Boon Som Inong berkata, masyarakat Siam di negeri ini sememangnya dikenali suka mengusahakan bidang pertanian seperti tanaman padi dan getah sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Beliau berkata, kedua-dua jenis pertanian itu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan padi menjadi makanan utama rakyat manakala getah adalah komoditi utama negara.

Menurut Boon Som Inong, sekiranya kegiatan ekonomi utama itu terhalang hanya kerana masalah birokrasi, ia adalah sesuatu yang akan merugikan negara.

“Masyarakat Siam percaya tempoh menunggu yang lama bagi mendapatkan sijil tersebut antara satu hingga tiga tahun adalah tidak wajar dan perlu dipendekkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai Sijil Pertanian Siam yang diperlukan bagi membolehkan individu berketurunan Siam memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini kini menjadi satu beban kepada masyarakat berkenaan.

Tempoh menunggu permohonan untuk mendapatkan sijil tersebut antara setahun hingga tiga tahun disifatkan oleh masyarakat Siam sebagai terlalu lama dan menimbulkan pelbagai masalah.

Sijil Pertanian Siam adalah satu dokumen yang diperlukan sebelum mereka boleh memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini untuk diusahakan dengan kegiatan pertanian.


Sumber: Utusan Malaysia, 25 Jan 2011, ms 25.

No comments: