Sunday, January 23, 2011

Petani Siam hadapi masalah mohon Tanah Rizab Melayu

Masyarakat Siam menunjukkan dokumen Sijil Pertanian Siam yang perlu diperoleh sebelum memohon Rizab Tanah Melayu di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 23 Jan. – Sijil Pertanian Siam yang diperlukan bagi membolehkan individu berketurunan Siam memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini kini menjadi satu beban kepada masyarakat berkenaan yang terkenal dengan kegemaran mengusahakan bidang pertanian.

Tempoh menunggu permohonan untuk mendapatkan sijil tersebut antara setahun hingga tiga tahun disifatkan oleh masyarakat Siam sebagai terlalu lama dan menimbulkan pelbagai masalah.
Kakitangan kerajaan, Chaliau Aisin, 39, yang berasal dari Pendang berkata, Sijil Pertanian Siam adalah satu dokumen yang diperlukan sebelum mereka boleh memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini untuk diusahakan dengan kegiatan pertanian.

Bagaimanapun, katanya, kerenah birokrasi telah menyebabkan permohonan untuk mendapatkan sijil tersebut menjadi satu beban kepada masyarakat Siam di negeri ini yang rata-ratanya menjadikan bidang pertanian sebagai sumber pendapatan utama.

“Selain proses permohonan yang terpaksa melalui pelbagai peringkat, masyarakat Siam juga perlu menunggu antara satu hingga tiga tahun sebelum sijil itu dikeluarkan.

“Selepas sijil dikeluarkan barulah mereka boleh memohon untuk mengukur tanah bagi proses mendapatkan hak milik,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Kakitangan kerajaan, Ah Khoon Endin Yat, 40, yang berasal dari Padang Terap berkata, proses mendapatkan sijil itu bermula dengan mendapatkan borang dari pejabat tanah daerah dan selepas itu perlu berjumpa dengan penghulu untuk pengesahan.

Menurutnya, selepas itu, mereka perlu berjumpa dengan pesuruhjaya sumpah sebelum menghantar borang ke pejabat tanah untuk proses siasatan dan dikenakan bayaran sebanyak RM30.

“Ia kemudian diserahkan semula kepada pejabat tanah dan galian (PTG) dan pemohon perlu menunggu sehingga tiga tahun sebelum diluluskan dengan bayaran sebanyak RM50.

“Jika pemohon mempunyai lebih daripada satu lokasi, mereka perlu membuat permohonan yang berasingan,” katanya.

Seorang lagi kakitangan kerajaan, Igian Endin Hean, 56, dari Pendang berkata, masyarakat Siam di negeri ini berharap masalah birokrasi itu dapat diatasi segera kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama.

Katanya, masalah juga timbul apabila generasi kedua mahu meneruskan kegiatan pertanian yang diusahakan oleh ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

No comments: