Wednesday, January 26, 2011

Prosedur Sijil Pertanian Siam dibentang mac ini.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan membuat keputusan sama ada prosedur permohonan Sijil Pertanian Siam masih relevan digunapakai atau sebaliknya selepas kajian mengenai isu itu dibentangkan pada Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, S. Manikumar berkata, kajian tentang perkara itu sedang disiapkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri setelah masalah tersebut dibangkitkan pada tahun lalu.

"Hasil kajian akan dimasukkan ke dalam kertas kerja yang akan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Masyarakat Siam pada Mac ini.

"Hanya selepas itu, barulah kita putuskan sama ada mahu meneruskankan prosedur sedia ada atau digantikan dengan prosedur lain yang lebih sesuai," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan masyarakat keturunan Siam agar kerajaan Kedah menyelesaikan masalah Sijil Pertanian Siam yang menjadi penghalang kepada mereka untuk menjalankan pertanian di Tanah Rizab Melayu.

Kosmo! semalam melaporkan dakwaan Senator Boon Som Inong berhubung tempoh menunggu permohonan untuk mendapatkan sijil tersebut yang memakan masa di antara setahun hingga tiga tahun.

Boon Som Inong menyifatkan tempoh menunggu itu terlalu lama dan perlu dipendekkan untuk mengelakkan pemohon menghadapi kesulitan.Sijil Pertanian Siam adalah satu dokumen yang diperlukan sebelum mereka boleh memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini untuk diusahakan dengan kegiatan pertanian.

Sumber: Kosmo! 27.1.2011 ms 16

No comments: