Wednesday, January 26, 2011

Kerajaan Negeri digesa selesai masalah tanah Siam.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah digesa menyelesaikan masalah Sijil Pertanian Siam yang menjadi penghalang kepada masyarakat keturunan itu meneruskan kesinambungan bidang pertanian yang menjadi sumber ekonomi negara.

Senator Boon Som Inong berkata, masyarakat Siam di negeri ini aktif mengusahakan bidang pertanian seperti tanaman padi dan getah sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Katanya, kedua-dua jenis pertanian itu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan padi menjadi makanan utama rakyat sementara getah adalah komoditi utama negara.

"Masyarakat Siam percaya tempoh menunggu yang lama bagi mendapatkan sijil itu antara satu hingga tiga tahun tidak wajar dan perlu dipendekkan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! kelmarin mengenai Sijil Pertanian Siam yang diperlukan bagi membolehkan individu keturunan Siam memohon Tanah Rizab Melayu di negeri ini yang menjadi satu beban kepada masyarakat berkenaan.

Tempoh menunggu permohonan untuk mendapatkan sijil tersebut di antara setahun hingga tiga tahun disifatkan oleh masyarakat Siam sebagai terlalu lama dan menimbulkan pelbagai masalah.
Boon Som Inong memberitahu permintaan masyarakat Siam itu dianggap wajar kerana mereka mahu diberi peluang sama seperti rakyat lain menyahut seruan kerajaan membangunkan ekonomi negara melalui sektor pertanian.

Sumber: Kosmo, 26.1.2011 ms 18

No comments: